PETALING JAYA:
Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak menuntut bintang
bola sepak kelab SC Beira-Mar Portugal, Mohd. Nazmi Faiz Mansor membuat
permohonan maaf secara terbuka kerana menuduhnya menjalinkan hubungan
sulit dengan bekas teman wanitanya, Tengku Fiella.
Aidil, 25, yang juga
pemain bola sepak pasukan negeri Johor berkata, tuduhan Mohd Nazmi, 19,
yang dibuat menerusi Twitter miliknya itu telah memburukkan lagi keadaan
Aidil yang masih berhadapan masalah rumah tangga dengan pelakon Rita
Rudaini.
“Masalah saya dengan
Rita masih belum selesai, timbul pula hal baru yang tidak benar. Saya
tidak menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita dan saya minta Mohd
Nazmi memohon maaf dengan tuduhannya itu,” kata Aidil kepada mStar Online yang dihubungi di sini petang pada Isnin.
Mohd Nazmi yang juga
bintang bola sepak remaja kebangsaan menerusi Twitter miliknya pada
Isnin telah menuduh Aidil Zafuan mempunyai hubungan dengan bekas
kekasihnya sehingga sanggup memberikan wang RM1,000 untuk berbelanja.
Malah Mohd Nazmi juga
mendakwa kedua-dua mereka turut tinggal bersama sejak beberapa minggu
lalu selepas diberitahu oleh rakannya.
Bagaimanapun, kira-kira
pukul 9.30 pagi Isnin, Mohd Nazmi telah memadamkan komen berkenaan
menerusi Twitter miliknya tetapi sempat disalin oleh pihak mStar Online.
Tambah Aidil, dia telah
menghubungi Mohd Nazmi yang kini berada di Portugal pada petang Isnin
untuk mendapatkan gambaran kenapakah dia memuat naik status tersebut.
Katanya, Mohd Nazmi
memberitahu dia berbuat demikian kerana begitu marahkan bekas teman
wanitanya itu selain terlalu mendengar cakap rakan-rakan mengenai hal
berkenaan.
"Nazmi menjelaskan
bahawa dia tidak fikir panjang apabila mendapat tahu kononnya saya
mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya selain tidak memikirkan kesan
daripada tindakannya memuat naik status tidak benar itu.
“Dia sudah memohon maaf
daripada saya dan sebagai orang yang lebih tua daripadanya, saya
memaafkan dia walaupun yang nampak buruknya akan terkena pada saya.
Maklumlah (dia) darah muda.
"Cuma saya mahu dia bersihkan nama saya. Lagipun kami tidak bermusuhan pun," ujarnya.
Aidil turut memberitahu
dia tidak mengenali gadis yang dimaksudkan Mohd Nazmi manakala jumlah
RM1,000 yang dikatakan itu juga tidak benar.
Sementara itu Tengku
Fiella yang merupakan gadis kelahiran Kelantan berkata Mohd Nazmi
merupakan seorang yang kuat cemburu dan meminta semua pihak tidak
mengambil serius kenyataan itu.
“Jangan ambil serius apa
yang Nazmi Faiz tulis di Twitter kerana dia sendiri belum matang dan
mungkin dalam keadaan tertekan dengan kelab di portugal,” katanya
seperti dilaporkan portal rotikaya.com. pada Isnin.
Malah gadis tersebut juga berkata dia tidak pernah mengenali Aidil Zafuan dan bersimpati kerana turut dikaitkan dalam isu itu.
Dalam perkembangan
terbaharu, Mohd Nazmi telah membuat permohonan maaf menerusi Twitter
miliknya kira-kira pukul 9 malam Isnin dan meminta semua pihak tidak
menyalahkan Aidil.
"Saya minta maaf mengenai perkara yang lepas, jangan salahkan Aidil Zafuan. Dia tiada kaitan dalam hal ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.