Mungkin ada orang ramai yang tertanya-tanya serta ingin tahu mengenai
latar belakang penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah
(ESSCOM) dan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). Sudah pasti ada yang
mempersoalkan mengapa baru kini kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan
ancaman keselamatan memang sudah lama wujud seperti beberapa siri
penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina.
Penulis ingin berkongsi fakta serta maklumat diperolehi dari media
arus perdana supaya dapat memberi pencerahan kepada rakyat khususnya
berhubung peranan serta fungsi ESSCOM sebelum ditukar kepada ESSZONE.
Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud beberapa struktur
keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah yang
dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka
sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana
komposisi penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu
menarik.
Operasi Padanan dan Sipadan Island Resort atau lebih dikenali dengan
nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan yang
diwujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan
pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula
diperkenalkan pada tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan
Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM).
Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti Polis Diraja
Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan
Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan
perairan Sabah.
Wujudnya ESSCOM bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM dan Imigresen
tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya untuk
memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi
tersebut.
Pembentukan ESSCOM telah diumumkan secara dasar oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lalu yang merangkumi kawasan
pantai timur negeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad
Datu.
Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut melaksanakan tugas
masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti tersebut mempunyai
arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa kekangan
terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana
masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di
antara satu sama lain.
Tidak dinafikan teknologi canggih untuk mengekang kemasukan asing dan
juga mengumpul maklumat risikan akan memainkan peranan penting untuk
memastikan peristiwa pencerobohan Lahad Datu tidak akan berulang lagi.
Peranan teknologi canggih mempunyai kekuatan yang ada hadnya jika ia
tidak digunakan secara pintar.
Tetapi apa yang lebih penting adalah semua maklumat risikan tersebut
perlu diproses dengan pantas dan betul. Di sini struktur ESSCOM adalah
kritikal kerana ia perlu bertindak sebagai arahan pusat dengan seorang
CEO atau Czar yang menjadi tonggak utama.
Kawasan ESSCOM dalam beberapa bulan mendatang sudah pasti akan
menyaksikan perubahan mendadak dalam aspek keselamatan bukan sahaja dari
segi pertambahan kehadiran anggota keselamatan tetapi juga aset
berkaitan seperti balai polis, pos pendalaman dan perairan dan Kompleks
Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Kesemua aset tersebut tidak akan memberi makna jika tiada koordinasi
aktiviti dan di sinilah peranan ESSCOM menjadi kritikal. Perlu
ditegaskan penubuhan ESSCOM bukan memberi maksud bahawa selama ini
keselamatan perairan Sabah diabaikan, tetapi sebenarnya untuk
memantapkan lagi struktur keselamatan sedia ada menghadapi cabaran masa
hadapan dengan memetik sumber Utusan Malaysia.
ESSZONE pendekatan holistik demi lindungi keselamatan rakyat Sabah
dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata. Justeru itu, Kerajaan
menubuhkan ESSZONE mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan
ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur dan seterusnya
mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan 10 daerah
Zon Selamat Sabah Timur ESSZONE yang berkuat kuasa semalam bagi
melindungi tanah berdaulat ini susulan insiden pencerobohan baru-baru
ini.
Pengisytiharan ESSZONE melibatkan 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu,
Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan
Tawau membawa kepada penubuhan satu jawatankuasa menurut
Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh
Menteri Dalam Negeri.
Perdana Menteri sendiri telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong
supaya Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962 dikuatkuasakan bagi
memastikan keselamatan rakyat di Sabah terus terjamin.
Jawatankuasa ESSZONE akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah,
pegawai eksekutif termasuk ahli-ahli yang akan dimaklumkan kemudian.
Sementara Najib sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa pemantau.
Menurut Najib, berdasarkan kajian yang dilakukan, pihaknya mendapati
punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di Lahad Datu
ekoran kewujudan beberapa penempatan yang boleh dianggap mudah terdedah
kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin.
“Maka saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan
inisiatif penempatan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di
kawasan Timur Sabah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam,” ujarnya
dipetik dari portal Sinar Harian.
Jelas Najib, kerajaan juga akan memastikan mereka yang terlibat dalam
penempatan semula ini akan dijamin kehidupan mereka menerusi sumber
pendapatan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain keperluan yang
disediakan di kawasan itu. ini akan turut memberi manfaat mereka yang
tinggal berhampiran.
“Bukan bermakna kawasan Sabah Barat dilupakan. Buat masa ini di
kawasan Timur Sabah lebih mendesak di mana kawalan keselamatan di Timur
Sabah akan diperketatkan dengan tambahan tujuh balai polis baru yang
akan dibina,” jelas Najib.
Tegasnya, pengumuman yang dibuat beliau ini bukanlah pengisytiharan
darurat dan ia tidak akan menjejaskan proses Pilihan Raya Umum ke 13
(PRU13). Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang
bebas, telus dan demokratik di mana pelaksanaan ESSZONE tidak akan
membawa pertambahan kepada kuasa polis. Malah mana pihak yang
berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui
proses perundangan.
Sementara itu, Najib dipetik Bernama berkata dengan penubuhan
jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan
bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur
dan seterusnya mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan itu.
Pada hari ini tiga buah kabin yang akan jadi asas kepada kewujudan
ESSCOM tiba di Lahad Datu dan akan berfungsi tidak lama lagi manakala
tujuh buah balai polis tambahan akan diwujudkan di kawasan Sabah Timur
yang dijangka akan turut menerima kabin-kabin balai pada awal April.
Ketujuh - tujuh balai polis tambahan itu melibatkan kawasan Pulau Bum
Bum, Pulau Gaya, Pulau Banggi, Pulau Mabul, Tambisan, Tanjung Labian
dan Cenderawasih, Felda Sahabat di mana perkara ini telah disahkan ketua
setiausaha negara dan saya telah rundingkan dengan menteri dalam negeri
dan ketua polis negara.
Dalam pada itu, Najib menegaskan ESSZONE bukannya pengisytiharan darurat di bawah perkara Perlembagaan Persekutuan.
“Ia tidak sekali-kali menghalang proses pilihan raya dan peraturan
yang bebas, telus dan demokratik serta tidak memberikan sebarang kuasa
tambahan kepada pihak polis, jika ada orang yang berpendapat haknya
terjejas, dia boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses
perundangan. Kehidupan akan berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan
tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan
kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Perdana menteri turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-langkah Khas) 2012 yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan
dan tangkapan dalam semua kes melibatkan pengganas di Sabah ketika ini
ialah suatu akta melibatkan prosedur semata-mata.
Wednesday, 27 March 2013
ESSCOM – ESSZONE: Kerajaan Laksana Pendekatan Holistik Lindungi Keselamatan Rakyat Sabah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.