KONTROVERSI
cinta tiga segi, kekasih baharu dan cinta lokasi, tak puas hati dengan
kemenangan artis lain serta pergaduhan sesama artis sehingga melantik
peguam, itu semua episod kisah panas yang mendidihkan nama Noor Neelofa
Mohd. Nor.
Terbaru, si
cantik molek yang sedang menghangatkan slot Akasia, Kau Yang Terindah di
TV3 kini terpalit pula dengan teguran 'jangan lupa diri' oleh Datuk
Yusof Haslam.
"Sebenarnya
sejak lebih tiga bulan kebelakangan ini, terlalu banyak cabaran yang
perlu saya hadapi. Macam-macam cerita yang tak kena, satu persatu ia
datang dan orang nampak saya ini tidak habis-habis mencipta kontroversi.
"Semua itu buat saya terfikir, kenapa Tuhan tak berhenti beri ujian kepada saya, mesti ada sebab dan hikmah.
"Saya ambil semua itu sebagai satu amaran daripada Tuhan supaya menjadi lebih matang dan sedar di mana saya berpijak.
"Semua itu
buat saya muhasabah diri, mungkin selama ini saya ada buat salah,"
kedengaran sedikit sayu suara pengacara Nona itu dari hujung corong
telefon.
Tambah
Neelofa: "Kalau betul Datuk sakit hati dan marah dengan ketidakhadiran
saya untuk sesi pratonton filem S.A.M yang diadakan pada awal Ramadan
lalu, tentu saya sudah tidak senang duduk.
"Saya kenal
rapat dengan keluarga Datuk yang saya bahasakan uncle. Saya memang tak
tahu langsung dengan pratonton itu sebab sedang berada di Mekah untuk
penggambaran drama Kau Yang Terindah.
"Mungkin
berlaku salah faham. Mungkin pihak Skop Production menghubungi saya di
nombor telefon lama, sedangkan telefon berkenaan ada di tangan pengurus
saya, Amir Syafiq."
Setahun
kebelakangan ini juga kata Neelofa, terlalu banyak yang dipelajarinya.
Detik menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah untuk umrah dan penggambaran
bersama kru Erma Fatima baru-baru ini meninggalkan suatu impak yang
berbekas di hati.
"Pandangan
saya tentang kehidupan mungkin sudah sedikit berbeza. Haluan hidup sudah
boleh dilihat dari banyak sudut. Saya toleh semula apa yang berlaku
antara saya dan Anzalna.
"Rasa tak
ada gunanya saya terus menyimpan dendam, dunia ini kecil dan esok lusa
kami mungkin akan bertembung juga," katanya beralih ke topik yang
beremosi.
Mengambil iktibar dan berkat sempena hari yang mulia, dengan rendah hati Neelofa membingkiskan salam kemaafan buat semua.
"Secara terbuka dia juga memohon maaf kepada mana-mana pihak dan individu yang terkait sama dalam konflik membabitkan dirinya.
"Saya mahu
ambil peluang 1 Syawal ini untuk mohon maaf kepada semua pihak terutama
orang dalam industri seni yang pernah terlibat dengan konflik yang
melanda saya. Saya doakan kebahagiaan dan keberkatan untuk semua,"
ujarnya yang beraya di Pasir Mas, Kelantan bersama keluarga.
Sejurus
habis penggambaran Kau Yang Terindah yang dijadualkan selesai pada 5
September nanti, heroin Azura 2011 itu sudahpun bersetuju untuk terlibat
dengan sebuah lagi filem, Pilot Cafe terbitan Tarantella Pictures
menjelang Oktober ini. Sepanjang September ini, duta tilam King Koil itu
akan terlibat dengan kempen jalan raya bersama Petronas.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.