Wednesday, 27 March 2013

Tak belanja duit perumahan , Guan Eng aniaya orang Melayu

Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membelanjakan wang dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah RM33.36 juta didakwa adalah satu penganiayaan terhadap orang Melayu di negeri itu.


 Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, tindakan itu juga ternyata menunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak mempedulikan nasib Bumiputera terutama golongan miskin dan tidak mempunyai rumah.



 "Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah mengapa wang itu diperam (disimpan) sahaja tanpa digunakan untuk yang sepatutnya iaitu bina rumah mampu milik dan kos rendah kepada Bumiputera di Pulau Pinang. 



"Saya kesal dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri (Lim) yang mengabaikan dan tidak mempedulikan nasib Bumiputera terutama orang Melayu di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)di sini hari ini.



 Beliau mengulas laporan media yang memetik Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd Nor Suhaili Jamali sebagai berkata Guan Eng perlu memberi penjelasan mengenai tindakannya tidak membelanjakan wang Akaun Amanah Perumahan Bumiputera berjumlah RM33.36 juta bagi membina rumah mampu milik atau kos rendah untuk rakyat.



 Mohd Nor dilaporkan berkata wang itu sepatutnya dikembalikan semula kepada rakyat untuk dibina rumah mampu milik dan rumah kos rendah bagi golongan Bumiputera. Azhar berkata, kerajaan negeri boleh membina lebih 10,000 rumah mampu milik dan kos rendah dengan wang yang terdapat dalam akaun berkenaan tetapi tidak melakukannya.



 Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang ditubuhkan pada September 2009 bertujuan mengakaunkan sumbangan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, pemaju atau pihak lain. Ia bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan aktiviti atau program yang berkaitan dengan pembelian atau pembangunan tanah, rumah, ruang komersial atau hartanah lain untuk manfaat penduduk Bumiputera. 
 
 

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Followers