Wednesday, 3 April 2013

Jeneral Vs Jeneral

KUALA LUMPUR 2 April - Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Md. Hashim Hussein tidak layak membicarakan tentang insiden kumpulan militan di Sauk, Perak, 13 tahun lalu kerana pemerintah tertinggi ketumbukan tersebut berada di luar negara ketika kejadian itu berlaku pada 2 Julai 2000.
Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said ketika mendedahkan perkara itu berkata, Md. Hashim hanya kembali ke Malaysia sehari selepas insiden itu bermula. "Saya yang menjemput Md. Hashim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari kedua kejadian dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada saya untuk menyelesaikan perkara itu. 
"Beliau langsung tidak membantu, sebaliknya saya berurusan terus dengan Ketua Polis Negara (ketika itu), Tan Sri Norian Mai tentang usaha bersama Tentera Darat dan polis untuk melakukan tindakan susulan.
"Md. Hashim hanya muncul di belakang saya pada 6 Julai setelah semuanya selesai," katanya ketika menjadi ahli panel 'Forum Keselamatan dan Ketahanan Negara' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Taman Melawati dekat sini semalam.
Forum itu menampilkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said dan bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail sebagai ahli panel.

Bekas Ketua Staf Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya (B) Datuk Mat Rabi Abu Samah yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa pula bertindak sebagai moderator. Beliau mengulas perbandingan yang dilakukan oleh Md. Hashim antara insiden di Sauk pada 2000 dengan peristiwa pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu sekarang.

Md. Hashim yang kini giat berceramah di pentas pembangkang terutama dalam membincangkan isu keselamatan, antaranya mendakwa pencerobohan Lahad Datu sepatutnya boleh diselesaikan dalam masa singkat dengan mengambil peristiwa serangan militan di Sauk sebagai perbandingan. 
Beliau juga mendakwa seolah-olah wujud penglibatan politik luar biasa dalam operasi pasukan keselamatan bagi menangani pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu. Zaini menambah, beliau kecewa dengan dakwaan Md. Hashim yang membayangkan seolah-olah pasukan keselamatan terikat dengan arahan politik sedangkan beliau sedia maklum selok-belok operasi pasukan keselamatan.
Katanya, setiap anggota dan pegawai pasukan keselamatan negara memiliki tahap integriti serta profesionalisme tinggi dan tidak akan sama sekali membenarkan ahli politik mencampuri urusan mereka. "Contoh sewaktu peristiwa di Sauk, Perak, Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang ketika itu Menteri Pertahanan ada berjumpa dengan saya dan memberitahu bahawa beliau mahu insiden itu diselesaikan secara baik tanpa pertumpahan darah.
"Itu sahaja arahan dan ingatan yang diberi dan saya yakin dalam kes pencerobohan di Lahad Datu juga, perkara yang sama dilakukan pihak pemerintah kerana pasukan keselamatan masing-masing ada kepimpinan tertinggi yang arif bagaimana tindakan yang perlu dibuat di peringkat operasi," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Followers